Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Illahi, kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya berkesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam laman web ini. Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada krew webmaster ini kerana dapat menghasilkan laman web ini pada tahun kecemerlangan SMKA Simpang Lima ini. Kejayaan penerbitan ini adalah disebabkan komitmen yang bersungguh-sungguh dari AJK pelajar dan guru-guru penasihat.
Penerbitan laman web ini sebenarnya bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pelajar mengurus dan seterusnya mencurahkan bakat serta mangeluarkan idea-idea inovatif, kreatif dan kritis untuk mencapai visi sekolah GEMILANG MENJELANG 2012. Ia menjadi salah satu usaha murni dan tidak terpisah dari hasrat pendidikan Negara. Para pelajar ialah pemimpin masa hadapan, bukan sahaja berkaliber dalam bidang akademik dan sahsiah malah mampu untuk berkomunikasi secara lisan, tulisan serta teknologi ICT dengan baik seterusnya boleh bekerjasama dengan orang lain untuk mencapai matlamat yang dihasratkan.
Kegemilangan memerlukan kesungguhan, tanpa usaha yang disertai dengan minat dari para pelajar, segala khodmat mengajar yang diberikan oleh guru serta usaha pihak sekolah dan PIBG ke arah kegemilangan akademik dan sahsiah tidak akan membawa erti. Kejayaan yang dicapai oleh sertiap pelajar adalah kejayaan pihak sekolah, PIBG, ibu bapa dan masyarakat umumnya.
Akhirul kalam, saya berharap komuniti SMKA Simpang Lima akan dapat mencapai kegemilangan seterusnya meningkatkan lagi martabat imej sekolah ini sebagai sebuah sekolah yang disegani.